Salam bahagia pembaca sekelian dan Salam hormat orang-orang Sabah. Janji saya untuk ke Sabah dan melihat sendiri kalian di sana saya tunai sudah.

Sesampai di Kota Kinabalu saya terlebih dahulu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bagi mendapat gambaran jelas serta mendengar keperluan dan keadaan sebenar di Sabah terutama yang menyentuh tentang kementerian saya.
Pada sebelah malamnya saya mengadakan pulak pertemuan dan taklimat dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari Sabah secara langung untuk berdailog dan mendengar masalah dan keperluan mengikut kawasan khusus berhubung kait dengan kementerian saya.
Kedua-dua majlis awal ini sudah cukup bagi saya melihat apa yang perlu diberi penekanan di Sabah khasnya dalam usaha kementerian saya membasmi kemiskinan tegar di Sabah.
Ke esokan harinya saya bersama rombongan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memulakan lawatan. Pilihan pertama kami ialah di kawasan Parlimen Kinabatangan dan Kampung Pinangah sebuah kawasan terpencil di Sabah menjadi destinasi pertama saya.
Sebelum kami bergerak masuk saya dan rombongan diberi penerangan ringkas oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar tentang kesukaran untuk sampai ke Kampung Pinangan. Saya dimaklumkan dari Sandakan perjalanan ke kampong Pinangan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan melalui jalan berlopak dan berdebu memerlukan masa perjalanan selama 7 jam.

Lawatan saya ke kampong-kampung bukan majlis rasmi yang dirancang. Saya tidak menetapkan terlebih dahulu rumah mana yang saya ingin lawati. Keadaan ini bagi membolehkan saya melihat sendiri realiti kehidupan dan kemiskinan yang menghimpit penduduk di sana.
Saya sendiri yang memilih dan melawat rumah penduduk miskin dan menemui serta menemubual mereka. Dari sini sudah tentu gambaran yang diperolehi adalah tepat dan memudahkan saya dan kementerian untuk bertindak membantu mereka.

Lawatan dan tinjauan saya bukan retorik sebaliknya hakikat yang dapat dilihat dan dirasai sendiri. Saya mengunjungi sendiri rumah penduduk kampung yang ternyata dihimpit kemiskinan dan kesusahan. Malah isteri saya turut merasai keperitan tersebut.

Dari pipi kusap anak kecil ini jelas tergambar mereka juga sedang mewarisi kemiskinan dan kesusahan hidup ibu bapa mereka. Perkara ini menyentuh hati saya dan menguatkan lagi iltizam kementerian untuk membantu penduduk di pedalaman Sabah ini.

Mungkin anak kecil ini tidak mengenali apa-apa tentang kesusahan dan kemiskinan dan saya berjanji bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak akan terus mengabaikan nasib mereka.
Tidak berkasut atau lebih tepat lagi ‘berkaki ayam’ sudah menjadi perkara biasa bagi anak kecil di Kampung Pinangah ini. Ini semua membakar semangat saya untuk segera menarik keluar mereka dari himpitan kemiskinan ini melalui pendekatan dan usaha kementerian saya.

Di majlis ini juga saya berkesempatan menyampaikan bantuan seragam sekolah kepada pelajar miskin yang sebelum ini rumah mereka terlibat dalam tragedi kebakaran yang memusnahkan 35 buah rumah di kampung tersebut.

Saya terharu miskipun anak-anak kecil ini hidup dalam seribu kepayahan mereka tetap menjadi insan yang bijak menghormati tetamu. Saya dan isteri serta rombongan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh anak-anak kecil Tadika Kemas Kampung Pinangah. Terima kasih anak-anak ku…

Kampung Pinangah banyak mengajar saya erti kesusahan dan kepedihan. Lihatlah anak-anak kecil ini ke sekolah seawal pagi tanpa berkasut dan renungi lah kemiskinan dan keadaan rumah sebegini masih menjadi tempat untuk mereka berteduh.
Lawatan ke Kampung Pinangah ternyata menguatkan lagi iltizam dan semangat saya untuk terus membela mereka dan Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar tidak akan mensia-siakan nasib dan masa depan mereka.

Terima kasih orang-orang Kampung Pinangah. Meskipun singkat pertemuan kita namun ternyata banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Jumpa lagi…