Muhammad Muhd Taib

| Blog Rasmi

Datang Ke Perlis Membawa Khabar Gembira

Tanggal 16 Julai 2008, hampir sehari suntuk berada di Negeri Perlis Indera Kayangan. Ketibaan saya disambut pemimpin negeri dan rakyat jelata.

Sudah menjadi tradisi sesiapa sahaja berhak ditemui. Setiap yang datang diterima dengan penuh rasa bangga.

 

Ketika di Perlis ada ‘hadiah’ dan berita gembira untuk seluruh pekebun kecil, bilamana kerajaan bersetuju untuk menghapuskan levi keuntungan luar biasa minyak sawit dan isi minyak rong mentah ke atas pekebun kecil sawit bagi meringankan beban mereka berikutan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Langkah ini akan membolehkan setiap pekebun kecil sawit dapat menjimatkan kira-kira RM 3,000 setahun dan ianya melibatkan 200,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara di bawah pengurusan Risda.

Berita gembira ini diumumkan dibumi Perlis dan penghapusan levi ini adalah dianggarkan setiap pekebun kecil mampu mencatatkan pendapatan minimum sebanyak RM 1,300 sebulan sekaligus membolehkan mereka keluar daripada paras kemiskinan.

 Pesan saya, dengan pengecualian levi ini diharap pekebun kecil dapat menggunakan wang penjimatan RM 270 sebulan atau kira-kira RM 3,000 setahun untuk keperluan lain. Ini termasuk menabung bagi tujuan pendidikan anak-anak atau simpanan hari tua.

Kerajaan sedar penguatkuasaan levi sebelum ini menimbulkan banyak keresahan di kalangan pekebun kecil. Hari ini keresahan itu berganti kegembiraan.

 

Selepas selesai majlis bersama pekebun kecil, saya ke Simpang Empat merasmikan Pusat Kegiatan Kemas.

Melihat wajah anak kecil ini terasa ada ‘hutang’ yang belum dilangsaikan untuk mereka. Sebab itu Kemas yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi penekanan kepada pendidikan pra sekolah terutama di luar bandar. Kerana hanya melalui pendidikan sahaja hidup sebuah keluarga mampu berubah…

Jiwa anak kecil ini tidak boleh dibiar kosong. Kemas memikul amanah ini sejak sekian lama dan hasilnya lahirlah anak bangsa yang berjiwa merdeka.