Muhammad Muhd Taib

| Blog Rasmi

APA KHABAR ORANG KAMPUNG JERANGAU

Ketibaan saya disambut oleh penduduk kampung dengan penuh rasa bangga. Malah bagi kalangan yang ditemui mereka bagaikan bermimpi menerima saya ke kampung mereka. Tetapi itulah saya yang memikul tugas dan amanah yang diberikan… 

Doa di pohon pada Ilahi semuga setiap gerak kerja mendapat perlindungan dan memberi manfaat kepada rakyat. Amin…

 

Membelah malam, mengunjungi rumah penduduk kampung kerana program ini diilhamkan bukan sekadar ‘bertanya khabar orang kampung’ tetapi melihat dan mendekati serta menyelami masalah mereka….

Mendengar sendiri cerita orang kampung menjadi tradisi cara kerja saya. Kerana dari sinilah saya mendapat cerita yang sebenar dan mudah bagi saya untuk bertindak mengatasi masalah yang ada.

Bukan retorik bukan dongengan tetapi ‘turun padang’ dan photo kerdil ini mampu menceritakan segalanya. Inilah amanah yang perlu terus dipikul dalam usaha berterusan mencapai sifar kemiskinan dikalangan penduduk kampung. Apa Khabar Orang Kampung…kerana ada khabar yang kurang menggembirakan dan memerlukan sentuhan seorang menteri untuk mengatasinya.

Mendekati orang kampung bukan lagi hubungan ’sehala’ dengan mengumpul mereka di dewan untuk menyambut seorang menteri sebaliknya ‘pergi terus’ kepada mereka dan hayati kehidupan seharian mereka.

 

Keesokannya bermulalah langkah menjelajah Kampung Jerangau untuk bertemu sendiri dengan sebahagian penduduk kampung. Melihat sambutan mereka hati kecil menjadi sayu namun disebalik wajah ceria mereka tersimpan duka yang lama.

Kerana saya juga ‘orang kampung’ menyebabkan saya  tidak kekok untuk terus menjadi orang kampung asalkan nikmat kemakmuran negara sampai kepada wajah-wajah Melayu ini.

Mahu ditolak sambutan yang diberi bimbang ada yang berkecil hati tetapi itulah adat dan adab orang kampung yang tetap menghormati tetamu. Hati kuman sama dicincang hati gajah sama di lapah…

Semuga dengan sekeping bata ini ianya akan menjadi sebuah istana tempat berteduh dan berlindung, inilah azam Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah…

Program Apa Khabar Orang Kampung (AKOK) dengan kerjasama steysen TV9 mirip program realiti. Namun ianya lebih realiti kerana inilah medan sebenar melihat masih ada lagi kemiskinan nun jauh di kampung dan pedalaman desa. Namun wajah tua ini seolah cuba melindungi keperitan dan kepayahan hidup mereka. Insyaalah kemiskinan akan diganti kesenangan, itu azam saya dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Lihatlah wajah si kecil ini, masakan kita sanggup membiarkan kemiskinan itu diwarisi mereka sedangkan mereka berhak untuk mencapai kesenangan dalam sebuah negara yang merdeka dan makmur ini. Semoga anak bangsa ini tidak akan mengulangi kemiskinan ayah dan ibunya…

 

Bagi membawa keluar generasi muda dari belenggu kemiskinan di kampung dan desa Pusat Info Desa merupakan langkah awal memperkenalkan mereka dengan dunia luar. Mereka juga berhak untuk menikmati jalur lebar yang dibangunkan oleh Kerajaan Barisan Nasional

 

Biarlah khabar ‘anak kampung’ ini adalah khabar gembira kerana kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat akan terus memastikan kemakmuran itu tempiasnya dapat dirasai meskipun jauh dipedalaman.

Bagi saya sudah tentu semua ini adalah kenangan manis dan Salam Aidilfitri dari saya untuk seluruh penduduk Kampung Jerangau, Dungun, Terengganu. Jumpa lagi…