Muhammad Muhd Taib

| Blog Rasmi

UMNO perlukan kombinasi semua persatuan Melayu

Salam sejahtera dan salam persahabatan untuk pembaca semua. Baru-baru ini saya ada membuat kenyataan dalam ucapan saya semasa merasmikan mesyuarat Agung persatuan bekas Perkhimatan Pendidikan Malaysia cawangan Selangor di Shah Alam pada 1 November lepas.

Bagi saya apa yang terpapar di dalam beberapa akhbar arus perdana ada sedikit kekeliruan dari segi tafsiran dan maksud keseluruhan pada ucapan saya tersebut. Bukan niat dan tujuan saya sebenarnya sebagaimana dibaca dalam laporan akhbar-akhbar tersebut.

 

Bagi menjelaskan kekeliruan tersebut, saya ingin membetul dan menjelaskan kenyataan tersebut.

 

Bagi saya, UMNO akan bertambah teguh jika keahliannya mengandungi kombinasi seimbang yang terdiri dari ahli perniagaan, penulis, guru, imam, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama sepertimana ketika ia mula ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

 Jika usaha tidak dilakukan untuk menarik minat golongan ini menyertai UMNO dan UMNO hanya dianggotai oleh kumpulan tertentu saja, minat orang melayu terhadap UMNO akan berkurangan dan lebih ramai orang melayu akan terpikat kepada perjuangan parti pembangkang.

 

Kita harus berusaha untuk menarik semula seramai mungkin guru-guru, imam, kepimpinan kampung, wartawan, penulis, pejuang sastera dan kebudayaan, pekebun-pekebun kecil, nelayan dan petani menyertai UMNO untuk memperkasakan UMNO supaya UMNO diwakili semua golongan.

 

Guru kepimpinan kampung, penghulu pejuang bahasa, nelayan dan petani serta lain-lain golongan, perlu diajak menyertai UMNO sama seperti UMNO pada tahun 1946 kerana sekiranya UMNO hanya terdiri daripada golongan tertentu sahaja, ia akan menyebabkan bekas guru kepimpinan kampung, pekebun kecil, nelayan dan petani rasa terpinggir dan tidak bersama dalam perjuangan Umno.

 

Untuk menghadapi cabaran masa depan ,UMNO perlu terdiri daripada kombinasi mereka yang berjaya dalam perniagaan termasuk golongan kontraktor dan kumpulan pejuang Melayu supaya ia kuat dan dapat memperjuangkan rintihan semula golongan masyarakat.

 

Orang melayu terutamanya generasi sekarang wajar melihat sejarah penubuhan UMNO pada tahun 1946 oleh Allahyarham Dato Onn Jaafar. UMNO diasaskan oleh pemimpin-pemimpin persatuan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seperti persatuan penulis, kesatuan guru, imam, guru agama serta peniaga kecil yang menyebabkan parti itu hampir dengan masyarakat

 

Sebelum UMNO ditubuhkan, tidak ada satu gabungan pertubuhan besar yang mewakili orang Melayu di negara ini. Allahyarham Dato’ Onn Jaafar berbasikal ke seluruh Tanah Melayu untuk mengajak orang Melayu yang berpecah dan berselerak, sama ada yang bergiat dalam persatuan bahasa atau kebudayaan ataupun peniaga, untuk bergabung menubuhkan satu organisasi penyatuan Melayu yang kemudiannya di panggil UMNO.

 

Ketika ditubuhkan, UMNO sebenarnya adalah “NGO besar Melayu’ yang ikatannya terdiri daripada golongan ahli perniagaan, ahli agama, pejuang bahasa, penderma kebajikan, pejuang kebudayaan, ahli sukan, kumpulan seniman, wartawan dan sebagainya. Semangat inilah yang kita perlu kembalikan supaya UMNO benar-benar menjadi satu-satunya wadah perjuangan orang Melayu di negara ini.

 

Mengambil rasa tanggungjawab dan keperluan ini, saya berazam sekiranya diberi peluang berada pada kedudukan Timbalan Presiden dalam pemilihan Mac ini, saya akan berusaha untuk menyatu dan mengembalikan semula sokongan persatuan-persatuan melayu ini terhadap Umno.

 

Kita rasa ada sesuatu yang tidak kena kenapa persatuan-persatuan Melayu ini semakin renggang dari Umno dan suatu usaha yang bersungguh dan berterusan mesti dilakukan oleh Umno bagi meletakan semula mereka menjadi pendokong dan penyokong Umno.


10 Responses to “UMNO perlukan kombinasi semua persatuan Melayu”

  1. sayasayangumno Says:

    Salam Tan Sri.
    Bagi saya Tan Sri tidak perlu memperbetulkan apa yang Tan Sri sebutkan tempoh hari bahkan sebagai pejuang Melayu yang lebih mementingkan Melayu itu sendiri,Tan Sri perlu berani berkata walaupun apa yang diperkatakan itu sesuatu yang pahit untuk ditelan dan menyakitkan hati segelintir pihak.
    Memang ada kebenaran dengan semua pimpinan dikuasai golongan kontraktor, UMNO akan hancur. Ini kerana kebanyakan kontraktor adalah mereka yang berduit. Merekalah yang menyemarakkan kemeriahan rasuah politiK @ politik wang dalam pemilihan UMNO. Ini kerana itu adalah kelebihan mereka dan rata - rata lawan mereka adalah terdiri daripada mereka yang berpendidikan dan berprinsip serta tidak sanggup menggadaikan maruah Melayu dan UMNO dengan wang. Akhirnya kebanyakan pemimipin UMNO adalah terdiri dari mereka yang tidak berpendidikan yang hanya mengutamakan projek, tender dan kekayaan diri serta kroni.
    Banyak contoh kita boleh lihat didalam pemilihan UMNO dimana mereka yang berwawasan, berkarisma, berpendidikan dan mempunya pakej yang baik sebagai pemimpin tewas di tangan kontraktor dan wangnya. Sebagai contoh, baru - baru ini pada pemilihan Pemuda UMNO Hulu Selangor, Ketua, Naib dan barisan AJK dikuasai oleh golongan kontraktor. Dikhabarkan rata - rata mereka ini dari Ketua hingga ke AJKnya cuma berpendidikan SRP dan SPM sahaja. Yang tewas ditangan mereka adalah Setiausaha Sulit Menteri yang berkelulusan Pentadbiran dan Syariah serta Peguam muda yang dikatakan disenangi dan dihormati oleh masyarakat setempat. Gabungan AJK mereka yang terdiri dari pelbagai profesyen seperti Pensyarah, Eksekutif, Guru, ahli perniagaan dan lain - lain tewas pada kekuatan wang kontraktor. Akhirnya Pemuda Hulu Selangor ditadbir oleh mereka tidak berpendidikan dan berkelayakan. Bagaimana anak muda akan tertarik pada UMNO? Ini kerana hasil pendidikan yang baik di negara kita, rata - rata anak muda sekarang pasti memiliki sekurang- kurangnya segulung diploma. Tetapi kebanyakan pemimpin UMNO diperingakat cawangan dan bahagian hanya memiliki SPM, bahkan ada yang lebih teruk cuma memiliki SRP yang amat mengharapkan kekayaan jika memegang jawatan dalam UMNO. Sudah pasti golongan muda terutama mereka yang berada diatas pagar tidak tertarik dengan UMNO.
    Disini kelebihan pihak pembangkang. Mereka menarik seberapa ramai golongan profesional dan diangkat serta diiktiraf sebagai pemimpin. Golongan berpendidikan dan profesional ini pastinya menggunakan segala ilmu, pengalaman serta kemahiran mereka didalam perjuangan politik mereka. Inilah yang membuatkan golongan muda tertarik dan mereka merasakan lebih jelas teras perjuangan golongan ini.
    Kita ambil contoh juga pada pilihanraya umum yang lalu. Di Selangor, ramai calon-calon BN yang hanya berpendidikan peringkat SPM sahaja. Bahkan ada yang hanya sekolah setakat darjah 6. Tetapi kerana mereka kontraktor yang kaya, mereka diangkat sebagai calon. Hasilnya, BN tewas dibanyak kawasan. Pembangkang ketika itu meletakkan calon - calon yang terdiri dikalangan profesional seperti Doktor, Peguam, Jurutera dll dan mereka menang. Kita harus sedar yang rakyat hari ini bukan mengundi hanya dengan melihat lambang. Rakyat hari ini menilai juga siapa calonnya? Apa kelulusannya? Apa kelebihannya? UMNO dan BN kena sedar itu.
    Janganlah golongan berpendidikan dan profesional, ditegah, dihalang dan dilarang untuk menyumbang kepada UMNO. Mereka adalah permata yang sebenarnya dicipta dan di kilang dari hasil kemajuan yang diperjuangkan oleh UMNO. Apabila telah menjadi permata, mengapa kita UMNO membuangnya dan membenarkan pembangkang mengambil mereka?
    Saya amat berharap agar ahli UMNO mengubah persepsi terhadap mereka bagi menjamin kerelevanan UMNO pada masa akan datang? Kontraktor ada tempat yang sesuai bagi mereka di dalam parti. Kita tidak nafikan, tetapi bukanlah sebagai pemimpin utama.

  2. eagle Says:

    Tan Sri saya cadangkan supaya membaca ‘Victory Speech’ oleh Presiden Amerka Barrack Obama.
    May be Malaysian politicians can pick some pointers.
    Kita tertinggal jauh dari segi “political maturity and awareness” malahan patah kebelakang, apa dah jadi?
    Semoga berjaya.

  3. Ahli UMNO Biasa Says:

    Salam Tan Sri,
    boleh tak senaraikan agenda-agenda perubahan dalam UMNO yang Tan Sri nak bawak sebagai Timbalan Presiden UMNO? Seperti yang kita tahu, golongan muda memang banyak menolak UMNO ni. Ini telah dizahirkan melalui peti undi saluran 3 dan ke atas yang majoritinya memihak kepada pembangkang. Jadi, apa pendekatan yang Tan Sri nak bawak kepada golongan muda ni?

    Pada pandangan saya, sokongan rakyat kepada UMNO sekarang berada pada tahap yang terendah sekali di mata rakyat dalam sejarah 62 tahun sejak penubuhannya. Kalau pergi mana-mana pun, kedai kopi ke, naik teksi ke, kebanyakannya asyik hentam UMNO. Kita memerlukan seseorang yang boleh full-time dengan UMNO untuk mengembalikan keyakinan rakyat, khasnya orang melayu terhadap UMNO. Tan Sri dah buktikan dengan tidak memegang jawatan dalam kerajaan pun boleh memberi khidmat kepada UMNO.

    Jadi, sanggupkah Tan Sri untuk tidak menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO? Sekiranya Ya atau Tidak, apakah alasannya?

  4. Zaidi Says:

    YB Tan Sri
    Pada pandangan saya UMNO kini di lihat sebagai parti untuk gulungan elite Melayu.Kalau kita sebut si polan itu orang UMNO gambaran yang kita lihat orang itu tentu kaya, berkereta mewah ,rumah besar dsb nya. Saya pernah melalui satu kawasan baru baru ini yang mana berlansung nya mesyuarat perwakilan UMNO di tepi jalan bersusun kereta kereta mewah kepunyai orang UNMO parking di tepi jalan. Apakah ini mengambarkan Orang Melayu telah mempunyai kududukan teguh dalam ekonomi ? Atau hanya Orang UMNO sahaja yang teguh kedudukan ekonomi nya? sama sama lah kita renungkan dan cari jawapan nya.

  5. Pemuda Pelapis Says:

    Assalamualaikum YB Tan Sri,

    Apakah benar-benar ikhlas kenyataan Tan Sri untuk menarik minat bagi menyatukan semua lapisan masyarakat Melayu ke dalam Umno? Jika ikhlas dan jujur alhamdulillah tapi kalau sekadar mencari perhatian di musim pencalonan seperti ini, lupakan saja hasrat tersebut.

    Umno kini telah dilihat dan dinilai rakyat sebagai sebuah parti golongan tertentu khususnya golongan elit sebagaimana ramai pengulas yang menyebutnya di sini. Andai inilah cadangan dan saranan Tan Sri, ianya nampak bercanggah dengan lain-lain pemimpin di dalam Umno kerana sebelumnya rakyat sering mendengar Umno mengutamakan cendekiawan, golongan berpendidikan tinggi dan berprofesion kelas A dan super skill sahaja yang dialu-alukan menyertai Umno.

    Kenapa tiba-tiba idea ini terlintas di benak fikiran Tan Sri di kala lain-lain pemimpin Umno mengutamakan kelompok dan sasaran lain? Rakyat semakin hari semakin keliru serta celaru dibuatnya dek kerana bijak pandai, bahlol dan tongong para pemimpin Umno yang tiada kesepakatan antara satu sama lain. Jika pemimpin-pemimpin Umno sendiri berpuak-puak apakah wajar rakyat golongan Melayu diharapkan agar bersatu-padu?

    Tidak dinafikan Umno makin lama bakal dipinggirkan oleh kaum Melayu sendiri disebabkan contoh teladan yang tidak baik telah banyak dipertontonkan kepada rakyat jelata. Tidak perlu saya mengambil contoh lain, cukuplah diri dan jiwa saya sendiri sebagai contoh terdekat. Dilahirkan sebagai Islam dan Melayu dalam kelompok keluarga berdarah Umno dan berjiwa perjuangan Umno sejak tiga empat generasi sehingga kini namun kemelut yang melanda yang tidak berkesudahan ini sedikit sebanyak telah memudarkan harapan serta kepercayaan saya terhadap perjuangan Umno. Mungkin 30% jiwa perjuangan Umno saya telah terhakis.

    Berilah perhatian dengan apa yang ingin saya sampaikan ini. Di kala Tan Sri berharapan untuk menarik lebih ramai keahlian, di saat ini dan akan datang para pemuda di akar umbi bakal berbondong-bondong akan berusaha meninggalkan Umno jika sekiranya pemilihan Umno (PAU) pada Mac depan tidak memberi impak yang baik dan meninggalkan kesan ketidakpuasan hati golongan pemuda di akar umbi. Tan Sri jangan sekali-kali alpa bahawa kekuatan seseorang pemimpin datangnya dari sokongan di akar umbi. Ibarat sebatang pokok, apakah akan terjadi apabila akar-akarnya merapuh dan mereput? Tidakkah pokok itu akan tumbang? Fikir-fikirkanlah.

    Wassalam!

  6. wan azmi Says:

    saya amat gembira YB Tan Sri sudah melepasi kuaota pertandingan

  7. jawa_sabak_bernam Says:

    assalamualaikum tan sri
    apabila majoriti kepimpinan umno di peringkat akar umbi
    mula dimonopoli oleh para kontraktor umum akan melihat
    ahli2 umno ini semacam laparkan projek2 kerajaan
    jadi harapan saya jika tan sri berjaya dlm pemilihan nanti
    ubahla senario ini supaya kepimpinan umno seimbang dan
    datang dari semua lapangan.

    berbalik soal jawatan
    saya lebih gemar tan sru kembali menerajui kerajaan selangor
    untuk membangunkan zaman kegemilangan selangor
    seperti yg telah tan sri lakukan dulu

  8. bbp_ekram Says:

    YB Tan Sri
    Saya bersetuju dengan pendapat sayasayangumno yang mana anak-anak muda kurang berminat dengan UMNO kerana beberapa perkara yg dinyatakan. Namun begitu saya berpendapat, anak-anak muda kini perlukan penerangan serta pemahaman tentang sejarah penubuhan UMNO itu sendiri. Pada pandangan saya, jika melalui ceramah-ceramah adalah terlalu formal untuk mereka mengikutinya. Saya ada salah seorang penggiat seni budaya di negeri Perak dan pernah beberapa kali mengadakan pementasan berkaitan dengan sejarah negara dari sebelum merdeka sehinggalah negara mencapai kemerdekaan. Sambutan yang diterima amatlah menggalakkan walaupun ceritanya berkaitan dengan sejarah yang mana kita tahu sejarah kurang mendapat perhatian dari golongan muda ini. Namun sambutan yg diterima amatlah baik dari golongan muda untuk datang menyaksikan pementasan tersebut. Walaupun dengan perbelanjaan yang sedikit, kami sekurang-kurangnya dapat menarik minat golongan muda yg rata-rata datang menyaksikan pementasan ini dalam lingkungan 15 ~ 30 tahun. Sekurang-kurangnya apabila mereka selesai menyaksikan pementasan tersebut di fikiran mereka sedikit sebanyak tahu bagaimana pejuang-pejuang UMNO memperjuangkan kemerdekaan tanahair. Oleh sebab itulah saya berpendapat pemimpin-pemimpin UMNO perlu merapatkan diri mereka dengan golongan anak-anak seni ini yang mana mereka ini adalah NGO yang amat rapat dengan masyarakat. Dengan persembahan seni dan budaya kami merasakan dapat membantu mengembalikan keyakinan golongan muda kepada UMNO itu sendiri. Tidak perlulah kita menunggu hari ulangtahun UMNO baru kita hendak mengadakan pementasan sebegitu rupa dengan belanja yang besar tapi yg datang melihat hanyalah golongan-golongan atasan dan juga peminat-peminat teater di Kuala Lumpur sahaja. Apa salahnya jika kita pergi menjelajah ke setiap negeri dan semua golongan dapat menyaksikan pementasan tersebut.

  9. Syahir the Owl Says:

    salam Tan Sri.

    UMNO pernah mempunyai sejarah dimana UMNO ditubuhkan melalui penyatuan semua persatuan Melayu dibawah satu payung. Saya berpendapat, kita mesti balik kepada pokok pangkal sejarah kita yang dahulu. UMNO kuat kerana akar umbi nya kukuh dibawah. Kita tidak harus meminggirkan akar ini.

  10. KR Says:

    Saya menghotmati pandangan sdr Syahir tetapi saya tidak setuju jika politik dicampur adukan dengan politik.
    Persatuan mempunyai agenda dan perjuangannya yang tersendiri untuk mencapai objektif penubuhannya.
    Beberapa kemelut yang lepas telah berlaku berpunca dari campur tangan ahli politik telah menyebabkan sesuatu pertubuhan atau institusi itu menjadi kucar-kacir dan terpesong dari objektif asal.
    Sekarang dunia sedang bersaing dalam dunia tanpa sempadan atau globalisasi tetapi kita di Malaysia masih bergelut untuk mempertahankan keistimewahan ketuanan masing-masing sehingga menular ke semua sudut tanah Malaysia yang tercinta ini.

    Salam!

Leave a Reply