Kerajaan lupus hutang Pekebun Kecil RM 139.64 juta
Salam bahagia pembaca sekelian.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersetuju untuk melupuskan hutang 33,957 pekebun kecil di seluruh negara yang melibatkan pinjaman sebanyak RM139.64 juta daripada keseluruhan pinjaman berjumlah RM204.7 juta yang diberi sejak tahun 1979.
Bagi saya langkah itu bertujuan meringankan beban kewangan pekebun kecil berikutan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga bahan api.
Sejumlah RM130.4 juta pinjaman melibatkan sumber pinjaman daripada kerajaan persekutuan dilupuskan yang meliputi Kredit Sara Hidup, Pinjaman Pengurusan Mini Estet dan Pinjaman Perumahan Mini Estet.
Sebanyak RM9.2 juta lagi dilupuskan melibatkan pinjaman sumber dalaman Risda untuk Skim Jaminan Pendapatan, Kredit Premium Tanah, Pinjaman Duti Setem, Pinjaman Keveat dan Pinjaman Jaminan Pendapatan.
Pinjaman berkenaan antara lain bertujuan membantu kos menanam semula di bawah Kredit Sara Hidup, kos pembangunan Mini Estet di bawah Pinjaman Pengurusan Mini Estet dan pinjaman membina rumah di bawah Skim Pinjaman Perumahan Mini Estet.
Pelupusan pinjaman itu antaranya akan meringankan beban tanggungan kewangan 15,141 pekebun kecil yang memiliki tanah kurang daripada dua hektar dengan pendapatan RM100 per keluarga sebulan, 13,746 peserta Mini Estet, 1,065 peserta Mini Estet dan tanam semula berkelompok yang memiliki tanah ditanam semula dengan kelapa sawit kurang daripada 2.8 hektar.
Langkah itu juga akan mengurangkan beban 1,958 pekebun kecil yang menyertai Mini Estet atau tanam semula berkelompok dengan nilai pinjaman RM1,500 sehektar dengan keluasan maksimum empat hektar dan 1,846 peserta Mini Estet yang menerima dividen serendah RM20 sebulan sehektar.
Saya tahu sejak 1979 sejumlah RM204.7 juta telah diberikan kepada pekebun kecil dalam bentuk pinjaman kerajaan dan pinjaman Risda iaitu sebanyak RM194.6 juta daripada kerajaan manakala RM10 juta daripada sumber dalaman Risda.
Daripada RM204.7 juta pinjaman itu, sebanyak RM22.1 juta telah dibayar balik kepada Risda sehingga 31 Dis tahun lepas.
Ini semua membuktikan kerajaan sentiasa bertindak dan berusaha untuk meringankan beban rakyat.







June 23rd, 2008 at 2:55 pm
YB Tan Sri,
Saya yakin dan percaya bahawa melalui pengumuman tersebut, masyarakat pekebun kecil kita akan terus melonjakkan rasa sayang serta kasih mereka kepada Kerajaan BN. Pada saya, bilamana sebuah Kerajaan itu memiliki pemimpin-pemimpin yang sentiasa berusaha untuk memajukan bangsa, punya idea-idea bernas, ikhlas serta rasa keprihatinan yang menebal terhadap rakyatnya, maka apa saja kemelut yang melanda lambat laun pasti akan ada jalan penyelesaiannya. Tahniah YB Tan Sri atas inisiatif untuk melupuskan hutang tersebut, yang menghantui kehidupan para pekebun kecil kita selama hampir 29 tahun ini !
June 25th, 2008 at 10:43 am
Apa sahaja tindakan kerajaan dalam meringankan beban kewangan rakyat pada masa ini adalah amat dialu-alukan. Hairan juga saya….. bila TS mengumumkan penghapusan beban hutang rakyat, tak banyak yang menghantar komen. Sebab ape agaknyea ye?
Teruskan buat pengumuman yang mahu didengar rakyat. InsyaAllah rakyat akan tahu menilai puak mana yang baik dan puak mana yang suka kelentong sahaja.