Muhammad Muhd Taib

| Blog Rasmi

Kementerian bersedia menghadapi musim banjir

Salam hormat dan salam bahagia kepada semua pembaca. Disamping kita ‘bercakap’ tentang politik dan pertandingan dalam Umno, saya juga tidak lupa untuk mengingatkan pembaca semua tentang musim banjir yang mula melanda beberapa negeri di tanah air kita. Musim banjir dijangka mulai pertengahan bulan ini hingga Mac tahun depan.

Bagi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, semua jentera kementerian telah digerakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan musim banjir yang panjang. Sebuah jawatankuasa pengurusan dan bantuan banjir telah dibentuk diperingkat negeri dan daerah. Kita mewujudkan satu ‘one stop centre’ bagi memantau dan melakukan kerja-kerja menyelamat dan menyalur bantuan agar tidak ada pihak yang terbiar.Di peringkat persekutuan, segala bantuan akan diselaraskan di bawah Jawatankuasa Bencana Alam yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam.

Manakala bagi peringkat kementerian, berbagai agensi sedia ada telah menubuhkan tabung dan jawatankuasa khas bagi menghadapi situasi banjir kali ini.

Di peringkat Risda, di bawah Tabung Pembangunan Sosial Ekonomi Pekebun Kecil bantuan diberi secara ‘one-of’, RM500 sehektar untuk kelapa sawit dan getah. RM2,000 untuk ternakan yang mati dan RM15,000 untuk rumah yang rosak.

Di bawah Kemas JKKKP, Jabatan Orang Asli, agensi ini sudah diarah untuk membuat pemerhatian yang kerap di kawasan yang kerap berlaku banjir. Kita buat persediaan awal dengan memeriksa parit, ban dan tali air jika berlaku keretakan atau kerosakan yang boleh dibaiki sebelum berlaku banjir.

Agensi yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat, pemeriksaan terhadap alat bantuan seperti bot telah dibuat agar semuanya berada dalam keadaan baik sebelum tiba musim banjir.

Di bawah Tabung Bantuan akibat Bencana Alam, pekebun kecil getah diberi bantuan pemilihan RM2,300 sehektar untuk tanaman getah. Pekebun kelapa sawit pula diberikan bantuan RM2,190 sehektar untuk tanaman kelapa sawit.

Manakala di bawah Tabung Insurans Ladang Felcra, sebanyak RM37 juta disediakan untuk memulihkan projek yang rosak akibat banjir. Peserta Felcra yang ditimba bencana banjir diberi bantuan maksimum RM1,000 sehektar untuk semua jenis tanaman kecuali padi.

Kementerian amat mengambil berat  soal kebajikan rakyat yang ditimba bencana banjir. Kerja ambil berat ini bukan kerja bermusim atau ketika pilihan raya sahaja.

Tahun 2007 sahaja, kementerian membelanjakan RM133 juta untuk membiayai kemusnahan akibat banjir yang melibatkan kerja-kerja membaikpulih jalan kampung, jalan lading, jambatan, titi, perparitan, membaiki masjid dan surau, dewan orang ramai dan balai raya, taman permainan, serta mengganti balik pokok yang rosak dan ternakan yang mati.

Meskipun kerajaan menyediakan bantuan kepada semua mangsa banjir yang terlibat, saya suka menasihatkan agar mereka yang berada di kawasan yang berpotensi dilanda banjir agar lebih berhati-hati terutama soal keselamatan diri dan keluarga. Kerana nyawa tidak ternilai dengan wang ringgit terutama bagi orang-orang yang tersayang.


3 Responses to “Kementerian bersedia menghadapi musim banjir”

  1. Ahmad Nazri Bin Adnan (Anak Master Adnan Tg.Malim Perak) Says:

    Assalamualaikum Y.B Tan Sri,

    Tan Sri,seperti dalam entry-entry saya sebelum ini dalam ruangan blog Tan Sri ini, saya masih lagi menanti temujanji saya dengan Tan Sri. Saya tahu mungkin tidak sesuai ruangan ini saya jadikan tempat untuk saya membuat temujanji dengan Tan Sri, tetapi saya sudah banyak kali ke pejabat Tan Sri, tetapi Tan Sri tiada di pejabat…dan mengikut setiausaha Tan Sri mungkin lama lagi baru saya dapat berjumpa dengan Tan Sri…jadi saya terus berusaha dengan cara lain supaya saya dapat berkomunikasi dengan Tan Sri secara terus, dan Alhamdulillah saya terlihat akan blog Tan Sri ini dan merasakan mungkin melalui blog ini dapat saya memohon jasa baik Tan Sri supaya dapat meluangkan sedikit masa Tan Sri untuk saya bertemu dengan Tan Sri memandangkan memang saya pun ada membuat temujanji di pejabat Tan Sri. Tolonglah saya Tan Sri… saya merayu dan memohon pertimbangan Tan Sri…dapat berjumpa 1 jam pun dah memadai Tan sri. Tolonglah Tan Sri.

    Ahmad Nazri Adnan (Anak Arwah Master Adnan Tg.Malim Perak-012-6236104 / 016-9176197)-ahmadnazriadnan@yahoo.com

  2. Rodiana Bt Hamidi Says:

    Saya pernah menulis didalam blog ini berkenaan perumahan saya SELAYANG HEIGHTS. Apa yang saya takutkan iaitu kejadian yang sama seperti di Bukit Antarabangsa hampir berlaku ditempat saya. Hari ini (16 Disember 08) tersiar berita dalam akhbar KOSMO tentang rekahan jalan utama dan runtuhan di jurang berhampiran dengan bantuan YB Dato’ Subahan Kamal. Saya sangat berharap ada pihak yang akan ambil berat. TV3 mungkin hanya berminat sekiranya runtuhan teruk telah berlaku. YB dato’ juga tidak berminat kerana tidak pernah menjawab rintihan saya. Saya sangat berharap agar pembinaan bangunan tinggi yang telah dirancang ditempat saya, akan dibatalkan, kerana sekiranya berlaku, akan tergugatlah struktur tanah dan akan menjadikan lebih payah… Tapi apalah daya kami rakyat biasa.

  3. KENA INSAF Says:

    Masalah banjir di Taman Siakap selesai
    BUKIT MERTAJAM 18 Dis. - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang menjangkakan projek penyelesaian banjir di Taman Siakap dan kawasan sekitarnya siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.
    Pengarah JPS negeri, Hanapi Mohamad Nor berkata, sehingga kini projek tersebut 60 peratus siap dengan kontraktor dilantik telah menyelenggarakan sebahagian laluan air dengan membuat beberapa perubahan baru serta dilengkapi pam air.
    “Ada dua lokasi akan dipasang tujuh pam air yang diimport dari Sweden dan dijangka tiba ke Malaysia pada 20 Disember ini sekali gus mampu menyelesaikan masalah banjir yang sekian lama berlarutan,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan yang terdedah kepada banjir di Taman Siakap di sini hari ini.
    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Ariff Shah Omar Shah.
    Menurut Hanapi, selain pam untuk mengepam air ketika hujan lebat, JPS turut memasang perangkap sampah yang dipanggil Flex Tide di setiap hujung parit bagi mengelak sampah menyekat laluan air.
    Katanya, penduduk di Taman Siakap tidak perlu bimbang dengan keadaan sekarang kerana musim hujan dijangka tidak akan berlaku sepanjang bulan Disember hingga Mac tahun depan.
    Oleh itu, katanya, kerja-kerja pemasangan pam air dan lain-lain berkaitan dijangka berjalan lancar dan masalah banjir akan dapat diselesaikan secepat mungkin.
    “Penduduk juga perlu bekerjasama untuk memastikan semua sampah-sarap tidak dibuang ke dalam longkang yang boleh menganggu kelancaran air mengalir,” katanya lagi.
    Seorang penduduk, Osman Arifin berkata, masalah banjir di Taman Siakap sering kali berlaku terutamanya ketika hujan turun dengan lebat.
    Beliau yang 28 tahun tinggal di kawasan itu memberitahu, setiap kali hujan turun banjir pasti berlaku dan mengakibatkan kerugian beribu ringgit.
    “Bayangkan baru-baru ini hujan tak sampai sejam rumah saya dinaiki air dan merosakkan perabot dan selepas diteliti ia berpunca dari laluan longkang yang semakin sempit,” katanya.
    Katanya, JPS perlu menyegerakan projek tersebut jika tidak lebih banyak rumah di sekitar akan menerima nasib yang sama akibat air tidak lancar mengalir.
    Nasib Osman turut dikongsi oleh jirannya, P. Thayalan yang tinggal hampir 25 tahun di kawasan tersebut dan setiap kali hujan turun beliau dan keluarga seolah-olah sudah lali dengan keadaan tersebut.
    Katanya, rumah yang didiami tidak dilakukan sebarang pengubahsuaian dan air akan senang melimpah masuk ke dalam rumah sehingga ke paras lutut.
    “Bayangkan setiap kali hujan air dari loji kumbahan dan dan air parit dicampur dengan air dari sistem kumbahan rumah bercampur dan bertakung dalam rumah sehingga menimbulkan bau kurang senang dan bukan senang untuk hilang,” katanya.
    Bagi Ang Ah Kim, beliau amat bernasib baik kerana mengubahsuai kediamannya namun masih tidak terlepas dari ancaman banjir setiap kali hujan turun.
    Katanya, air dari longkang yang terperangkap menjejaskan aliran air sekali gus menyebabkan kenaikan air mendadak.
    “Sebelum rumah saya diubah suai air pernah naik hingga paras lutut namun setiap kali hujan saya cukup risau takut ia (air) melimpah naik,” katanya.

    YB TAN SRI,

    KATA KATA ADUN SEBERANG JAYA BOLEH PERCAYA KE?ANGAN-ANGAN MAT JENIN?
    MINTA PANTAU HAL INI SUPAYA KEPENTINGAN KAMI DIUTAMAKAN.

Leave a Reply