Muhammad Muhd Taib

| Blog Rasmi

Kalau kita patuh pada perlembagaan parti, tidak siapa yang boleh mengarah kita…

Salam sejahtera dan harapan saya pembaca semua sentiasa berada dalam suasana harmoni dan diberi Allah kesihatan yang baik berpanjangan. Tadi pagi saya berada di majlis jamuan hari raya Aidilfitri anjuran Risda di Jalan Ampang.

Saya rasa gembira dan bangga dapat berhari raya dan bermaaf-maafan dengan kakitangan Risda dan sebahagian daripada jemputan yang terdiri dari pekebun kecil Risda.

Di majlis tersebut ada pemberita yang bertanya saya atau meminta komen saya tentang kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini yang membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai berlagak seolah-olah pengarah pemilihan dalam Umno dengan menentukan ‘siapa yang perlu berada dalam Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan’.

Bagi saya amat mudah. Kita (Umno) ada perlembagaan dan peraturan yang perlu dipatuhi. Kalau setiap ahli termasuk pemimpin mematuhi dan akur dengan perlembagaan dan peraturan yang ada, tidak timbul adanya desakan atau ‘arahan’ dari mana-mana pihak dalam menentukan kepimpinan parti di masa depan.

Saya harap semua pihak akur dengan peraturan parti. Selagi kita akur dan patuh dengan peraturan dan perlembagaan yang ada, kita akan selesa untuk memilih pemimpin dalam parti.

Ada juga wartawan yang tanya tentang ‘nasib’ saya sebagai calon timbalan presiden. Setakat malam ini saya sudah menerima 9 pencalonan dari bahagian dan apapun saya tetap yakin (insyaallah) akan dapat pencalonan yang mencukupi untuk menawar diri sebagai calon timbalan presiden.

Saya masih yakin dan percaya kepada kebijaksanaan pimpinan bahagian-bahagian yang belum bermesyuarat untuk memberi pencalonan yang mencukupi untuk saya. Ada enam minggu lagi lebih kurang. Kalau seminggu dapat 10 pencalonan, enam minggu…saya rasa dah layak bertanding.

Apapun ahli parti, pimpinan bahagian tetap bijak dan berhemah bagi saya. Mereka akan menilai pimimpin berdasarkan rekod kerja dan kesetiaan pada parti. Saya sandarkan dua perkara tersebut untuk memberi sumbangan kepada parti.

Pada bahagian yang telah memberi pencalonan kepada saya, saya rakamkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga dan saya berharap saya akan diberi peluang oleh ahli parti.

Rasanya cukup dulu la setakat malam ne. Salam perjuangan dan salam persaudaraan.


15 Responses to “Kalau kita patuh pada perlembagaan parti, tidak siapa yang boleh mengarah kita…”

  1. Charles Masuil Says:

    Syabas Tan Sri,

    Saya amat bersetuju kepada pendapat Tan Sri bahawa ahli-ahli UMNO hendaklah patuh kepada perlembagaan parti. Dalam pemilihan bakal pemimpin tertinggi UMNO pada bulan mac tahun depan ini,setiap perwakilan hendaklah diberi kebebasan untuk siapa yang patut kita pilih.Dalam jawatan No.2,tiga orang pemimpin veteran UMNO untuk menawarkan diri untuk jawatan itu masing-masing mempunyai misi dan visi untuk kepentingan bangsa dan Negara, kepentingan semua masyarakat yang berbilang etnik kaum dan agama khususnya melayu,kadazan, iban dan kaum bukan bumiputra.Menjadi pemimpin agung dalam UMNO bukan semata-mata untuk ketuanan melayu akan tetapi juga ketuanan semua bangsa Malaysia di Negara kita. Prinsip ini ada pada Tan Sri Muhammad Muhd.Taib,maka bagi pandangan saya selaku seorang ahli UMNO biasa,adalah paling tepat bahawa Tan Sri haruslah diberi kesempatan untuk menyandang jawatan No.2 UMNO ini. Saya telah mengikut dari awal-awal lagi perkembangan kerja dan tugas Tan Sri Muhammad Muhd.Taib selaku Menteri Pembangunan Luar dan Wilayah yang sentiasa turun padang, masuk desa dan kampung terpencil. Ini lah menteri yang kita mahu, bukan selaku menteri yang hanya duduk di dalam bilik pejabat berhawa dingin saja. Kalau ada 10 menteri macam Tan Sri ini,hari ini tiada rungutan yang timbul dikalangan masyarakat di desa-desa atau kampong.

    Patut kah kita sokong Tan Sri untuk jawatan No.2? Bagi saya Tan Sri layak untuk dicalon oleh Bahagian-Bahagian untuk jawatan No.2.

    Selamat Berjuang dan semoga berjaya!!!

    Charles Masuil

  2. Eagle has landed Says:

    Tan Sri, apa kah Tan Sri yakin bahawa masih wujud fairplay dalam percaturan politik UMNO.
    Secara rambang mereka berpegang kepada “The end justify the means” sebab itu lah politik wang berleluasa.
    Lihat bagaimana Najib dan Muhyidin mendapat pencalonan. Sekira nya di bandingkan kepada keberanian dan jasa terhadap bangsa, saya kira semasa Tan Sri jadi MB Selangor lebih menonjol dari Najib dan Munkideen. Apakah ini realiti UMNO, orang Melayu mudah lupa. Apapun perlakuan pemimpin UMNO terhadap Pak Lah satu yang amat mengecewakan. The UMNO failure should be a collective responsibility, so why humiliate him? Apa kah Najib dan Munkideen akan dapat memperbaiki UMNO?!!! Tan Sri tahu jawapan nya. Saya tidak pernah menyertai mana mana parti politik tapi pemangkah setia governtmet of the day. Semoga berjaya Tan Sri.

  3. Razak Penang Says:

    Tan Sri,

    Utamakan Islam!

    Doakan Tan Sri diberkati ALLAH dan direstui perjuangan Tan Sri.

    Salam Perjuangan

  4. ir musafir Says:

    Salam Hormat Tan Sri,

    Kalau semua ahli UMNO mematuhi perlembagaan parti, insyaAllah, demokrasi dapat di hidupkan dalam negara kita dan UMNO akan di sayangi kembali.

    Orang di luar sentiasa memerhatikan samada ahli UMNO patuh atau tidak kepada perlambagaan. Mereka akan ketawa, kerana ahli UMNO sendiri tidak mematuhi perlembagaan dan peraturan.

    POLITIK WANG terutamannya. Pimimpin atasan perlu lebih tegas menanganinya. Ramai pemimpin dan profesional muda naik benci dengan UMNO kerana ini. Ramai yang berpotensi, tidak dapat d ketengahkan kerana tidak memberi ‘habuan’ sewaktu proses pencalunan. Jadi, bila pencalunan tidak cukup, maka terkuburlah matlamat atau misi perjuangan mereka ini.

    Saya doakan Tan Sri dapat melepasi pencalunan untuk Timbalan Presiden. Tiada siapa yang dapat menafikan komitmen, pengorbanan dan kesetiaan Tan Sri kepada UMNO terutama dalam pilihanraya samada umum atau kecil.

    Wassalam.

  5. awi.pt8 Says:

    Salam Tan Sri,

    Imej sombong dan bongkak macam Tun Mahathir dan TS Muhyidin harus ditolak dari UMNO.Bagaimana mahu melahirkan masyarakat penyayang jika dikalangan pemimpin tertinggi negara asyik bercakaran dan menonjolkankan sikap berpuak-puak?

    Saya berharap dan berdoa Tan Sri dapat melepasi kuota pencalonan seterusnya layak bertanding dan bakal menjadi DPM.

    Kembalikan kegemilangan Malaysia dimata dunia.Saya yakin Tan Sri mampu menterjemahkannya.Amin.

  6. aberamly Says:

    TS TERKENAL SEBAGAI MAT MELAYU. MANA SEMUA LEGACY MELAYU TS. SAYA BACA BUKU2 TS TENTANG MELAYU BARU DLL. NAMPAKNYA TS TAK ADA SELLING POINT NI SEBAB MUSUH TS TONJOLKAN IMEJ MIKE TYSON YANG GANAS DAN BLACKY.

    TS MUHYIDDIN DILABEL GANDINGAN MANTAP NAJIB DAN SEBAGAI PEJUANG AKAR UMBI.. SUARA KERAMAT UMNO. ORG KUAT TUN DR M.

    DS ALI RUSTAM.. BAHAYA KERANA IMEJ JUAL DATO KPD SHAH RUKH KHAN DAN SEMUA ORG UTK DAPAT PENGARUH…. DAN TAK NAMPAK BELA MELAYU SEBAB PEKEJ PELANCUNGAN MELAKA LEBIH KPD BABA DAN TRADISI CINA.

    TS KENA CARI BRAND KOMERSIAL NI…. SEKURANG2NYA KEJAYAAN TS MELAYUKAN & ISLAMKAN EKONOMI DAN TAMADUN MODEN DI SELANGOR….

  7. chengho Says:

    tan sri,

    pandangan tun M dipaparkan di blog beliau AAB tak perlu melenting jawap saja diblog berkenaan . kita nampak pencalunan 2 kali ini datang dari floor ini adalah manifestasi
    sokongan akarumbi . kita bolih bersetuju tidak bersetuju dgn saranan tun M tetapi dlam theori pengurusan apabila ceo bertukar lain2 pengarah juga perlu ditukarkan .

    dlm pemilhan Umno kita sama 2 tau samada diperingkat cawangan , bahagian dan perhubungan ada turun wahyu juga dari atas yg menghendaki orang tertentu memimpin cawangan atau bhg. langkah pertama yg tan sri perlu perjuangkan adalah penghapusan sistem kuota dan membudayakan akarumbi bolih menyatakan putih itu putih hitam itu hitam. dgn itu budaya undi sulit lain ,jumlah pencalunan lain perlu di hapuskan .

    sudah sampai masa nya juga Umno mengadakan sistem kader yg meletakkan prasyarat tertentu terutama kelulusan akademik bagi kepimpinan akarumbi dgn ini mereka 2 yg ada potenti dapat di asuh dan di bimbing untuk menjadi pemimpin yg lebih tinggi. ini sudahkan pun berlaku dahulu apabila gulungan guru menerajui Umno di peringkat cawangan . pada masa itu gulungan guru adalah orang yg lebih pandai di kampung2 .

    pastikan juga Pemuda dan Puteri benar2 menjadi kilang pemimpin Umno yg mempunyai idealisma yg kuat . semasa di peringkat ini jgn calunkan mereka untuk jadi YB, biarkan mereka bergelumang mencari pengalaman 2 /3 penggal dahulu dan kejayaan kerjaya mereka di ambil kira .

    pemilihan tim president adalah amat penting kepada Umno dan negara . orang no 2 ini akan menjadi orang no 2 putrajaya . zaman kecermelangan tan sri adalah semasa menjadi mb selangor , masa berubah , hari ini Umno dan negara memerlukan kepimpinan yg dapat memenuhi keperluan cabaran terkini ,tan sri masih relevan untuk menjadi orang penting Umno , masih diperlukan tetapi sebagai orang no 2 ada calun yg lebih sesuai .

  8. Khairul Says:

    Salam Tan Sri,

    Saya akan ingat kata-kata Tan Sri ini sampai bila-bila : “ada ketikanya kita menjadi imam dan ada ketikanya kita menjadi makmum”, “bila kita menjadi imam, jadilah imam yang baik dan bila kita menjadi makmum, jadilah makmum terbaik”.

    Ini sebahagian catatan saya dalam blog saya di Bicarakapar2.wordpress.com :

    Menang kalah dalam persaingan politik bagi Mat Tyson satu perkara biasa. Beliau pernah menyertai persaingan dalam merebut jawatan Naib Presiden sebanyak 4 kali, menang 3 kali dan tewas sekali. Beliau pernah membina kekuatan bersama Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin melalui Team Wawasan yang sangat mantap dan sukar digugat serta berjaya membantu memperkukuhkan kedudukan UMNO. Gandingan mantap ini mengungguli kepimpinan UMNO ketika Tun Mahathir menjadi Presiden.
    Kini segala-galanya mungkin berbeza. Team Wawasan hanya tinggal kenangan. Bukan berpecah, kerana mereka tak punya pilihan, jawatan yang ditawarkan hanya satu untuk Presiden dan satu Timbalan Presiden. Hanya memerlukan dua orang. Mat Tyson tak punya pilihan, mahu atau tidak beliau terpaksa bersaing bersama Tan Sri Muhyiddin untuk menduduki kerusi nombor 2 dalam UMNO. Kerusi-kerusi Naib Presiden sudah selayaknya diberikan kepada pemimpin muda yang lebih agresif untuk menggerak dan memantapkan UMNO.
    Peribadi itu hak setiap mereka untuk menawarkan diri dan bertanding. Namun saya masih sayangkan gandingan mantap Team Wawasan. Sebolehnya saya mencadangkan pada Dato’ Seri Najib agar memikirkan sesuatu agar kalian tidak wajar berpisah. Gandingan kalian digeruni kawan dan lawan. Bersatulah…walaupun bukan lagi atas nama Team Wawasan, tetapi saya percaya, bahawa masih ramai yang mengharapkan Najib, Muhyiddin dan Mat Taib kembali bergandingan mencorakkan UMNO, membela Melayu dan meletakkan Malaysia dipersada dunia.

    Saya percaya bahawa UMNO masih memerlukan Tan Sri dalam kepimpinan perdana UMNO dan bangsa Melayu.

    Terima kasih.

  9. hash Says:

    Salam Tan Sri

    Saya amat berharap Tan sri menang jawatan Tim. Presiden.

    Dari segi personaliti dan ketokohan…saya yakin Tan Sri mendahului pencabar yang lain..

    Terus kan dengan imej ….tenang, rendah diri dan tidak sombong.

    Selamat Berjuang dan Selamt Berjaya….

  10. ahmad pauzi Says:

    Saya berharap untuk pencalunan Timbalan Presiden biarlah kesemua calun melepasi kelayakan kerana ini adalah kehendak akar umbi

  11. kecewa Says:

    PAtuh kepada perlembagaan parti?

    Saya ingin bertanya kepada Tan Sri, apakah orang2 UMNO sekarang ni patuh kepada perlembagaan Parti? masakan ya kalau setiap hari ada sahaja berita mengenai politik wang di dalam UMNO.

    Adakah kita ada mendengar politik wang dalam pemilihan parti lain? Sebenarnya, UMNO itu sendiri yang berubah dan yang mengubahnya dan menggerakkan adalah di kalangan atasan juga… kalau tidak, mana mungkin ia sampai ke akar umbi…

    Trend dalam UMNO sendiri pun sudah berubah… macam tidak hormat orang yang banyak berjasa kepada negara.. kritikan ke atas Tun Dr Mahathir sukar nak diterima. Orang luar kenal Malaysia kerana Mahathir?

    Seorang rakan saya (Ustaz) baru2 ini pergi berdiskusi dengan para pensyarah sebuah universiti terkenal di England… yang memeranjatkan Ustaz itu, Profesor berkenaan masih ingat bahawa Malaysia masih diterajui oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri… malah Profesor itu langsung memuji2 pemimpin kita… Ustaz ini bukanlah dikalangan Barisan Nasional pun berasa bangga..

    Begitu juga dengan kakak ipar saya yang bertugas di beberapa negara di pejabat kedutaan dan dia tidak nafikan, orang luar kenal Malaysia kerana Tun Dr mahathir.. bukan kerana pembangunan yang dibawa, tetapi idea dan komen yang cukup bernas di peringkat antarabangsa…

    Minta maaf saya katakan setakat ini, saya belum nampak mana2 pemimpin yang boleh berbuat begitu… tapi yang menyedihkan saya, kenapa orang ini (tun dr Mahathir) dikritik dan dipandang begiotu rupa… tak salah dia memberi teguran sebabnya dia tahu apa yg ditegurnya…. Walaupun Tun yang sudah berusia tidak berada di dalam kerajaan dan UMNO, namun ideanya sangat bernas kalau dibandingkan dengan mana2 pemimpin sekarang.

  12. hash Says:

    Salam Tan Sri…

    Sebenarnya kepimpinan Pak Lah masih relevan bagi orang-orang Melayu. Tiada desakan dari rakyat ( terutama orang Melayu ) untuk meminta Pak Lah berundur…cuma desakan datangnya dari pemimpin UMNO yang tertentu.Buktinya sokongan orang Melayu kepada Pak Lah masih kukuh semasa PRU yang ke 12.

    Pak Lah harus di beri masa untuk membawa agenda perubahan dalam bidang kehakiman yang telah tercemar dalam isu Video Linggam .Begitu juga usaha beliau untuk memperkasakan BPR.

    Tan Sri usahakan lah sesuatu untuk menyakinkan ahli MT UMNO pada 30 Oktober ini tentang perlunya Pak Lah terus menjadi PM mengikut pelan asal peralihan kuasa yang telah di bincangkan sebelum ini.

  13. yusoffbapoo Says:

    Bilakah Kementerian Tan sri akan mula membayar elaun kepada setiausaha JKKKP??

  14. Suzila Says:

    Salam Tan Sri,

    Sebagai mengambil kata-kata Tan Sri : “ada ketikanya kita menjadi imam dan ada ketikanya kita menjadi makmum”, “bila kita menjadi imam, jadilah imam yang baik dan bila kita menjadi makmum, jadilah makmum terbaik”.

    Adakah imam tidak boleh ditegur makmum???..adakah makmum tidak boleh memberitahu adakalanya imampun lupa…..

    TQ.

  15. muhamad mat yakim Says:

    salam tan sri, saya nak bawa satu cerita lama… sangat lama. kalau tak silap saya, pada masa itu, tan sri masih mb selangor. saya duduk bersembang dengan satu lelaki cina tua yang saya lupa nama dia. dia sekarang pun sudah tidak ada lagi, sudah jadi mendiang. cina tua ini buka cerita pada saya tentang feng sui. saya kurang ambil ‘port’ sangat bab feng sui ini walaupun kadangkala saya nampak ada juga kebetulannya. kata cina tua itu, dalam banyak-banyak pemimpin melayu, dia nampak ketokohan yang sebenar (selepas tun m) ada pada tan sri. tan sri - ikut ilmu feng sui yang dia pakai - nampak ‘berat’ dan orang yang nampak berat, ada ketokohan untuk memimpin dalam erti kata yang sebenar. sorry to say, apa yang dia nampak ada pada tan sri itu, tidak ada pun pada pak lah. saya tidak mahu cuba hakimi kata-kata cina ini tapi pada saya, itu satu pengiktirafan oleh orang bangsa kepada tan sri. saya amat sedar perkara ini kerana saya jarang dapat dengar puji-pujian yang sebegitu oleh seorang bukan melayu kepada pemimpin melayu. apa komen tan sri?

Leave a Reply