Dari Pinangah ke Sebatik dan Pulau Banggi…
Ke esokan harinya saya dan rombongan memulakan perjalanan ke Pulau Sebatik yang terletak di perairan Tawau dalam Parlimen Tawau. Perjalanan menggunakan bot bukan setakat satu pengalaman baru tetapi satu lagi pengalaman yang menyentap perasaan. Merasai keperitan dan kesukaran untuk sampai ke satu satu tempat di Sabah.
Di Pulau Sebatik saya dan rombongan ditemani oleh ADUN Sebatik YB Abdul Mois Picho dan kami dibawa meninjau projek takungan air dan projek rawatan air adalah kemudahan tambahan untuk Loji Pemprosesan Air Pulau Sebatik di Kampung Wallace Bay yang sudah siap.
Dari Pulau Sebatik saya dan rombongan menunggu bot di jeti Pulau Sebatik bagi meneruskan perjalanan ke Pulau Banggi dalam Parlimen Kudat.
Di Pulau Banggi saya dengan ditemani oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berpeluang singgah di Sekolah Menengah Batu Layau dan sempat bertemu dengan pelajar dan tenaga pengajar di sana.
Kesungguhan guru-guru mencurah ilmu kepada anak bangsa serta kegigihan pelajar untuk menimba ilmu mengajar kita bahawa hanya melalui pendidikan kita dapat keluar dari kemiskinan.
Pulau Banggi sudah dijengah pembangunan dan saya menerima taklimat pembangunan Pulau Banggi dari Tuan Haji Nasir Baba, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Bhd. Ternyata pembangunan yang diterajui oleh Felda Bhd akan mampu mengangkat keluar Pulau Banggi dari garis kemiskinan.
Kesempaan ini juga saya melawat rumah PPRT yang dibina oleh kementerian bagi peserta Projek Agropolitan Pulau Banggi.
Penduduk akan mula menduduki rumah tersebut menjelang Ogos ini. Melalui rumah PPRT ini kita berharap penduduk akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan mampu menjana perkembangan keluarga yang sihat dan selesa.
Meskipun tidak dirancang pertemuan yang singkat kerap menyentuh perasaan kita. Saya terharu mendengar keluhan seorang penduduk asal Pulau Banggi tentang keadaan hidup dan perkampungan mereka. Keluhan penduduk ini menjadi catitan saya untuk pihak kementerian melihat dan meneliti apa yang cuba disampaikan.
Jika dahulu bila kita hendak menyampaikan bantuan kepada golongan yang kurang upaya, kerapnya kita memanggil dan mengumpul mereka di satu tempat. Keadaan ini saya sudah ubah kerana memikirkan kesukaran dan kepayahan mereka untuk hadir dengan jarak perjalanan yang jauh sedangkan ada yang uzur dan kurang upaya.
Hari ini saya mengambil pendekatan kita (orang sihat) datang dan berjumpa sendiri dengan orang yang kurang upaya untuk menyampaikan sedikit bantuan dan sumbangan.
Saya dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tidak boleh mengubah dalam sekelip mata kemiskinan dan kekurangan di sini namun apa yang dibuat oleh kerajaan dan kementerian sudah cukup untuk membuktikan bahawa usaha sedang giat dijalankan.
Apatah lagi dengan tambahan peruntukan sejumlah 4 billion baru-baru ini adalah bukti nyata bahawa kementerian serius dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.
Tidak mustahil latar rumah di belakang saya ini akan berubah di masa akan datang dengan perancangan dan kesungguhan kementerian saya. Harapan saya agar semua pihak melihat perkara ini secara rasional dan bukannya emosi. Kerajaan Barisan Nasional yang diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke 12 baru-baru ini akan tetap menggalas harapan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan samada di Bandar mahupun luar Bandar.
Bagi penduduk Pulau Banggi, angin pembangunan dan limpahan kemakmuran sudah mula dirasai dan lawatan ini akan memberi lebih gambaran kepada saya dan pegawai kementerian untuk merancang dan menambahbaikan kemudahan dan keperluan di sini.
Sekian, semoga kita berjumpa lagi…















June 24th, 2008 at 2:01 pm
tahniah Tan Sri kerana melaksanakan tugas dengna baik biarpun bersendirian..saya berharap bahwa hal yang serupa di lakukan oleh semua wakil rakyat UMNO demi memartabatkan kembali UMNO di pentas perjuangan Melayu.
June 24th, 2008 at 11:10 pm
Saya memang tabik sebab TS memang rajin daripada MB Selangor lagi sampai sekarang.Semasa menjadi MB Selangor, Selangor amat maju dan TS berjaya melahirkan ramai jutawan melayu.Tapi pada ketika itu TS ada Tun Dr M sebagai PM.Tetapi sekarang…
June 24th, 2008 at 11:22 pm
Tan Sri..
Kita semua berharap ramai lagi yang akan dibantu..cuma, harapan kita, apabila dibantu, sedialah untuk berubah..berubah menjadi yang lebih baik..berusaha meningkatkan taraf hidup..kerana kita tidak mahu selepas ini kita terpaksa berhadapan dengan orang yang sama juga satu hari kelak..Insya Allah Tan Sri, dengan usaha murni, kita semua diberkati Allah..sekian.
June 25th, 2008 at 10:24 am
Assalamualaikum,
Perubahan demi kebaikan bersama kerajaan dan rakyat. Teruskan usaha murni daripada kementerian Tan Sri dan Tan Sri sendiri dalam membantu penduduk luar bandar membaik taraf hidup mereka.
http://umnobahagianpandan.blogspot.com/
June 25th, 2008 at 3:30 pm
Salam TS…
Sememangnya begitu lah caranya.. kita sebagai pemimpin datang melihat sendiri untuk menghulurkan bantuan… barulah kita dapat melihat keadaan sebenar kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.. saya pernah melawat Sabah dan bekerja di sana untuk seketika… Usaha TS ini tidak harus terhenti disini sahaja dan mesti diteruskan selagi TS memegang jawatan dan amanah dari rakyat.. teruskan usaha.. ada banyak lagi tempat tempat yang agak terpencil dan pendalaman yang sememang nya tidak terlintas dihati kita bahawa kehidupan yang dilalui begitu sukar walaupun untuk benda-benda asas.. saya rasa usaha ini adalah usaha kemanusiaan dan bukan terbatas semata mata untuk parti sahaja… TS dah melangkah kehadapan …tahniah dan teruskan usaha ini…
June 25th, 2008 at 5:01 pm
tahniah Tan Sri…saya terpanggil untuk memberi pandangan mengenai kemiskinan..pelbagai cara dan usaha telah kerajaan laksanakan untuk membasmi kemiskinan…tapi kita semua maklum…tiada siapa boleh mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka berusaha sendiri…inilah terjadi sekarang…ini saya alami sendiri apabila melakukan kerja-kerja sukarelawan semasa banjir dulu…sikap meminta-minta seolah-olah telah sebati dan bagi mereka siapa yang membantu merekalah yang disokong tanpa memikir pro dan kontranya…doa saya Tan Sri akan terus berjuang memperkasakan bangsa Melayu….
Asalamualaikum..
June 25th, 2008 at 6:20 pm
Assalammualaikum WBT
Apa pandangan TS setelah membuat lawatan berkenaan? Terukkan? Itulah yang BN buat selama 50 tahun memerintah. Bila dah bernafas-nafas ikan nie baru la terkial-kial kehulu-kehilir, tenguk tu, tenguk nie. Tak tahulah projek basmi kemiskinan BN tu berjalan atau tak? Atau umum di akhbar jer kot.
June 25th, 2008 at 11:17 pm
Tahniah TS. Teruskan usaha bagi meyakinkan rakyat bahawa BN adalah pilihan yang tepat. Saya cadangkan sekali-sekala TS bawalah sekali MP yang muda2 yang mempunnyai potensi menjadi pemimpin pada masa akan datang, supaya mereka ini boleh “belajar” daripada TS.
June 26th, 2008 at 8:46 am
Salam Tan Sri
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..Tahniah kepada Tan Sri yang sering turun padang…ssemoga Allah membalas jasa-jasa Tan Sri.
http://www.pilihananda08.blogspot.com
June 26th, 2008 at 9:07 am
A.kum Tan Sri,
1. Secara jujur saya merasa bangga mempunyai seorang Menteri seperti Tan Sri.
2. Pengalaman itu menjadikan Tan Sri lebih baik dari menteri-menteri lain.
3. Syabas dan teruskan usaha yang murni itu.
http://sukj.blogspot.com
June 26th, 2008 at 5:06 pm
Assalamualaikum Tan Sri,
Hari ini saya sedinh mendengar rungutan peniaga kecil berkenaan kesan kenaikan harga barang yg berpunca dari harga petrol dan diesel yg meningkat terlalu drastik. Di tambah dengan kenaikan harga beras dan gula serta ayam.Bagaimana lah mereka hendak mengekalkan perniagaan mereka yg menjadi sumber rezeki mereka. Dahulu walaupun ramai org tak suka Tun Mahathir kerana Anwar mempertikaikan pemberian projek kepada kroni tetapi mereka tetap kagum dengan Tun kerana dapat menstabilkan keadaan ekonomi rakyat biasa. Namun kini segalanya berubah.. Pak Lah boleh kata kita kena terima hakikat kenaikan harga minyak tetapi adakah dia lupa bahawa kenaikan yang terlalu tinggi begitu boleh menyebabkan keruntuhan satu keluarga kerana tak dapat menampung kehidupan mereka??? Tahukah Pak Lah bahawa minyak adalah satu punca utama kenaikan seluruh harga barang makanan di dunia?? Kalau tahu kawal lah harga minyak jangan bagi alasan ikut pasaran dunia,kalau semata-mata ikut pasaran dunia sama juga bagi Mat Sabu jadi PM tak payah fikir macam mana nak ringankan beban rakyat. Kalau naik 10 sen pun minyak harga barang boleh naik sampai 20% bayangkan 40%?? Peniaga kecil lah yang paling terasa kesan kerana mereka tidak dapat menaikkan harga sesuka hati kerana pelanggan akan lari. Peniaga Besar dan Pengilang akan terus alihkan beban kenaikan kepada pembeli tetapi peniaga kecil nak alih kepada siapa??? Pak Lah?? Kepada menteri semua jgn la bangga tunjuk potong 10% ke 20% elaun keraian nak tunjuk perihatin konon,kalau nak rasa cuba potong gaji 50% bagaimana rasa?
Saya bangga dengan Tan Sri dari dulu lagi masa zaman Tun Mahathir kerana dapat majukan Negeri Selangor,harap dengan jawatan Menteri sekarang Tan Sri dapat membantu rakyat biasa yang miskin ini dek gara-gara pandainya Pak Lah dan penasihat-penasihatnya yang (maaf atas kekasaran bahasa) kurang cerdik. Sebagai rakyat apa yang kami perlu adalah kami mampu untuk menyediakan makanan dan keperluaan asas kepada keluarga,namun dengan keadaan sekarang saya rasa tak ramai yang akan dapat menyenangkan keluarga masing-masing.Paling saya takut ramai yang tak mampu mengeyangkan anak-anak kecil dengan sesuap nasi.
Bantulah kami sekarang kerana apa yang diwar-war kan oleh Pak Lah bantuan untuk rakyat sebenarnya tak akan membantu meringankan langsung kerna tetap tidak menurunkan harga barang makanan dan keperluan harian.
Mereka yang diatas tidak merasa kesusahan dan kepayahan orang dibawah kerana semua telah terhidang. Ketahuilah bahawa sekarang semua orang merasa teraniaya dan ingatlah odoa org-org yang teraniaya akan dikabul oleh ALLAH,dan memang salah satu doa mereka adalah BN kalah dalam pilihanraya akan datang kerana mereka tak akan sokong kerajaan yang dipimpin oleh orang yang membebankan rakyat.
wassalam
p/s: Teruskan usaha murni Tan Sri semoga Allah pelihara Tan Sri dan Tun Mahathir
June 27th, 2008 at 11:07 am
Tan Sri,
Tahniah atas turun padang, tetapi mungkin kita kena selesai masaalah rakyat bukan lagi melalui pembangunan. Mungkin beri peluang untuk mereka tambah pendapatan dan supaya tidak dianiayai oleh lintah darat peniaga yang naikan harga barang sesuka hati. Dulu ada usul supaya UMNO baiki gaya untuk tawan hati rakyat. Oleh itu ada rakyat nak pembangunan, ada nak duit, ada nak puas hati seperti isu telus, adil, sama rata tapi tak sama rasa yang diperjuangkan oleh DAP Malaysian Malaysia dan lain-lain lagi. Ada pendapat kuatkan organisasi membela rakyat di segi fizikal dan mental di peringkat peti undi bersama YB UMNO dan lain-lain lagi. Pokoknya pendekatan umno kena GLOKAL dan Hadhari Tan Sri!
June 27th, 2008 at 12:06 pm
Bagus la DS dah mula turun padang melawat rakyat yang susah….tapi kita harap ini tidaklah bermusim saja dan lawatan ini di harap tidaklah tinggal lawatan saja tapi tindakan entah ke mana……dan di harap mungkin ada perubahan kepada rakyat sabah, tak la dok macam tu juga ……..
June 27th, 2008 at 3:19 pm
Saya ucapkan syabas kepada Tan Sri di atas initiatif pergi melawat ke kampung-kampung untuk menyelami sendiri keperitan hidup rakyat di pendalaman. Pada saya ini satu permulaan yang baik. Saya ada beberapa soalan dan pandangan yang ingin diutarakan:
1. Setelah lawatan dibuat, sudah tentu beberapa perancangan akan atau telah dibuat untuk membaiki keadaan dan sedikit sebanyak beberapa janji juga telah ditabur kepada para penduduk. Tindakan pembaikan sudah tentu akan memakan masa. Sementara menunggu tempuh pembaikan itu dilaksanakan, biarlah ada kesinambungan di dalam proses tindakan yang akan diambil supaya tidak berlaku projek tergendala atau terbengkalai dengan alasan tidak cukup kakitangan atau kakitangan telah bertukar. Kita tidak mahu timbul suara-suara sumbang yang mengatakan “kerajaan hanya tabur janji kosong saja”.
2. Setiap usaha untuk membaiki keadaan itu sudah tentu akan melibatkan perbelanjaan kos. Apakah mekanisma yang akan digunakan bagi menyalurkan peruntukan kos itu secara berkesan supaya ianya menepati kumpulan sasaran. Kita tidak mahu mendengar kisah-kisah lama berulang di mana bumbung runtuh setelah bangunan siap dibina akibat dari peruntukan yang diberi tidak mencukupi kerana salah laku lantas aspek kualiti telah diabaikan. Saya cadangkan mekanisma yang ada sekarang perlu dikaji semula supaya keberkesanannya boleh dipertingkatkan.
3. Aspek keutamaan di dalam usaha untuk memperbaiki keadaan perlu diberi perhatian di mana apa-apa usaha yang berkaitan dengan keperluan asas seperti bekalan air bersih, letrik, rangkaian perhubungan dan pendidikan perlu diberi keutamaan yang lebih. Penyediaan tempat riadah, dewan orang ramai dan lain-lainnya boleh dikemudiankan.
4. Walaupun Tan Sri telah membuat lawatan ke kawasan-kawasan yang terpilih dan usaha pembangunan bagi kawasan yang telah dilawati itu telah dirangka, apa akan terjadi kepada kawasan-kawasan yang tidak dilawati oleh Tan Sri? Adakah kawasan yang tidak dilawati itu akan terbiar dari arus pembangunan? Biarlah kawasan yang dilawati oleh Tan Sri itu menjadi sumber inspirasi atau pencetus idea bagi Tan Sri untuk merangka plan pembangunan yang menyeluruh bagi negara Malaysia yang kita cintai ini.
June 28th, 2008 at 8:59 am
YB Tan Sri,
Teruskan usaha-usaha murni ke arah membangun masyrakat luar bandar kita !
June 28th, 2008 at 7:41 pm
Tahniah TS kerana sanggup menempuh berbagai cabaran semasa program turun padang yang seumpama ini. Sudah tentu rasa simpati yang timbul daripada itu, akan mendorong TS merangka berbagai program untuk membantu rakyat. Syabas! Bagaimanapun harap Pegawai-pegawai di Kementerian Tan Sri dan agensi-agensi di bawah KKLBW kena bersikap lebih proaktif dan agresif dalam melaksanakan segala kerja dan program yang telah di rancangkan. Jika tidak, segala perancangan dan program akan terbantut.
Salah satu masalah yang saya mohon perhatian TS ialah program membantu peniaga2 kecil dan IKS melalui SPED, mengambil masa terlalu lama sehingga ada yang menjangkau setahun pun ada. Belum ada yang dapat di selesaikan saperti mana yang di nyatakan dalam brosur yang di keluarkan oleh Bank pelaksana iaitu Bank Rakyat dan SME Bank. Ada saja masalah yang timbul akibat dari sistem penyampaian yang lemah dan maklumat dari KKLBW serta Bank yang tidak mencukupi tentang prosedurnya. Pihak bank juga sering memaklumkan mengenai masalah kepada pemohon lepas satu, satu masalah, tidak secara keseluruhan. Dan masalah yang di bangkitkan sesetengahnya saperti sengaja untuk melengah-lengahkan permohonan. Ini menyebabkan masa menjadi panjang dan telah membantutkan perancangan oleh peniaga dan pengusaha IKS.
Antara masalah lain yang timbul selalunya dari pihak Bank sendiri saperti ketiadaan pegawai,kerana selalu keluar kawasan dan tiada pengganti. Masalah ini saperti sudah tiada penyelesaian di mana-mana pun.
Harap dapat perhatian daripada TS. T. kasih
July 21st, 2008 at 3:14 am
Memang tepatlah PM lantik Tan Sri sebagai menteri PLB yang memang berjiwa rakyat. Belum ada menteri yg sanggup ke Pinangah hingga ke Bangi seperti Tan Sri. MOga Tan Sri terus menjelajah ke tempat lain di Sabah dan saya jemput ke tempat saya di Kg. Gusi, Kinarut, Papar, Sabah…saya alu-alukan kedatangan Tan Sri. Biar Tan Sri melihat sendiri keadaan kampung kami.
July 25th, 2008 at 5:05 pm
tahniah Tan sri di atas kesungguhan membantu masyarakat luar bandar, semoga setiap projek dan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya…saya cukup kagum dengan semangat tan sri yang gemar mendampingi masyarakat desa….teruskan usaha!!!!! menjadikan desa malaysia maju, menarik dan menguntungkan!!!
August 1st, 2008 at 4:48 pm
Terima kasih atas lawatan ke pulau sebatik…
August 9th, 2008 at 11:12 pm
YB Tan Sri,
Pulau Sebatik terletak dalam Daerah Tawau di Parlimen P.191 Kalabakan DUN N.60 Sebatik.
Semenangnya kesan kenaikan harga minyak memberi impak yang besar kepada masyarakat luar bandar.
Itu sahaja
August 18th, 2008 at 5:47 pm
tahniah kepada Tan Sri diatas keprihatinan Tan Sri kepada rakyat khususnya masyarakat desa yang masih banyak mengalami kesusuhan. Disini saya ingin memohon bantuan dari pihak Tan Sri agar dapatlah kiranya melawat ke kawasan Felda Bukit Rokan di Gemencheh Negeri Sembilan agar dapat melihat masalah air yang di alami oleh masyarakat felda di sana. saya sebagai generasi dari kawasan felda tersebut telah menghadapi masalah air ini sejak lama dahulu…sekiranya pihak Tan Sri dapat meluangkan masa untuk datang melawat pihak kami amatlah berasa berbesar hati kerana masalah air ini telah lama menyulitkan kehidupan penduduk di sini ….semenjak kawasan felda ini menggunakan sistem pam air dari bawah tanah, kami telah mendapat bekalan air yang kotor dan berkeladak…dan mengalami tekanan air yang amat rendah menyulitkan lagi kehidupan kami…pihak kami telah pun berhubung dengan pihak JBA Daerah Tampin, mengenai perkara ini tetapi malangnya bagi kami yang tidak mempunyai wang terpaksa menanggung kos untuk membaiki saluran paip yang telah tersumbat dengan keladak yang telah mengeras di dalam saluran paip itu sendiri. pihak JBA tidak akan menanggung kos tersebut. Sekiranya pihak Tan Sri dapat membantu tentang masalah ini ..pihak kami amatlah rasa bertuah kerana setelah sekian lama pihak kami menanggung kesusahan ini…Segala jasa baik dari pihak Tan Sri amat-amat dihargai !!!!! luahan rasa dari Penduduk Felda Bukit Rokan , 73200 Gemencheh , Negeri Sembilan.